MISI BANTUAN BENCANA BANJIR MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP) DAN PERSATUAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN MALAYSIA (MALA) KE NEGERI SELANGOR

MISI BANTUAN BENCANA BANJIR MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP) DAN PERSATUAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN MALAYSIA (MALA)
KE NEGERI SELANGOR
__________________________________________________
1) Sepertimana yang kita sedia maklum, negeri Selangor khususnya di kawasan Klang, Sepang, Shah Alam, Banting, Kuala Langat dan lain-lain kawasan kini dilanda banjir akibat fenomena cuaca luar biasa.
2) Mengimbau pengalaman lampau pada 4 & 5 November 2017, Pulau Pinang juga telah terjejas akibat oleh fenomena cuaca luar biasa. Pada masa itu, Pulau Pinang juga telah menerima bantuan kecemasan daripada Pihak Berkuasa Tempatan, termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya (kini Majlis Bandaraya Subang Jaya), Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
3) YBhg. Dato’ Ar. Yew Tung Seang selaku Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) merangkap Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengadakan satu mesyuarat tergempar bersama AJK Eksekutif MALA pada hari ini bagi membincangkan dan mobilisasikan pasukan sukarelawan bagi menyertai misi bantuan bencana banjir ke kawasan-kawasan yang terjejas.
4) Sebagai permulaan, MBPP, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang akan menghantar pasukan bantuan bencana banjir ke negeri Selangor untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan.
4.1 Kekuatan MBPP adalah seramai 21 orang anggota berserta 4 unit Chainsaw, 2 Unit Lori Combi, 3 buah Lori HST dan 3 buah pacuan empat roda 4X4.
4.2 Kekuatan MBSP adalah seramai 50 orang anggota berserta, 15 Unit chainsaw, 1 unit Tailift, 2 buah lori RoRo, 3 buah van dan sebuah pacuan empat roda 4X4.
5) YBhg. Dato’ Ar. Yew Tung Seang, Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) turut menyeru kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang lain untuk bersama-sama menghantar bantuan segera ke tempat-tempat terjejas oleh bencana banjir.
6) Pihak Berkuasa Tempatan yang memerlukan bantuan, samada ahli atau bukan ahli MALA, sila hubungi Setiausaha MALA Cik Rashidah Binti Jalaludin di talian 012-524 2033 atau urusetiamala@gmail.com
7) Besar harapan MBPP agar semua kawasan di Selangor yang terjejas akibat fenomena cuaca luar biasa ini akan segera pulih dan kehidupan rakyat dapat kembali seperti sediakala.







