Larian Obor APMG 2018 MELAKA BANDAR BERSEJARAH

LARIAN OBOR APMG 2018 DI NEGERI MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH
6 OGOS 2018
Bersempena kejohanan Asia Pacific Masters Games 2018 (APMG 2018) yang akan berlangsung pada 7-15 September 2018 di Pulau Pinang, Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) menganjurkan program Larian Obor APMG 2018 di seluruh Malaysia dan negeri Melaka telah menjadi lokasi seterusnya dari 6 hingga 9 Ogos 2018.
Larian Obor APMG 2018 telah bermula dari Majlis Perbandaran Jasin yang diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin, Haji Mustaffa Bin Ali.
Obor kemudiannya diarak sehingga ke Melaka Mall dan diserahkan kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Puan Mahani Binti Masban.
Larian Obor ini akan mencatat sejarahnya yang tersendiri kerana buat pertama kalinya, Pihak Berkuasa Tempatan dari semua negeri di Malaysia akan berganding bahu untuk menyemarakkan semangat perpaduan dan kesukanan.
Larian ini akan mengambil masa selama 99 hari sejauh 3,908 KM yang merangkumi keseluruhan negeri di seluruh Malaysia dan berakhir di Pulau Pinang pada 8 September 2018.
Untuk makluman, kejohanan APMG Penang 2018 melibatkan 22 jenis sukan seperti olahraga, memanah, badminton, bola sepak dan sebagainya.






